PROGRAM TEACHING SCHOOL 2025 : MENYELAMI DUNIA KANAK-KANAK BERKEPERLUAN KHAS MELALUI PENGALAMAN LAPANGAN
Pada 9 Mac 2025, Jabatan Pendidikan Awal Kanak-Kanak (JPAKK), IPG Kampus Sultan Abdul Halim dengan kerjasama Sekolah Kebangsaan Bukit Kiara telah menganjurkan Program Teaching School 2025 yang melibatkan pelajar PISMP dalam Kerja Lapangan Pentaksiran Berterusan Kursus PAKK3403: Kanak-Kanak Berkeperluan Khas.
Antara objektif program ini ialah:
- Menyediakan pengalaman pembelajaran kontekstual berkaitan pentaksiran dan intervensi.
- Meningkatkan empati dan kefahaman pelajar terhadap keperluan individu dalam kalangan murid pendidikan khas.
- Mewujudkan kerjasama dua hala antara institusi latihan perguruan dan sekolah rendah.
- Menyokong pembangunan profesionalisme pelajar menerusi amalan reflektif dan perkongsian pengalaman.
Program dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada pihak sekolah dan IPGMKSAH, diikuti penyerahan cenderamata dan sesi bergambar kenangan. Pelajar kemudiannya menerima taklimat kerja lapangan sebelum melaksanakan aktiviti pemerhatian dan intervensi di dalam kelas khas.
Keseluruhan program ini mencerminkan komitmen JPAKK dalam memperkasa pengajaran yang bersifat inklusif dan berimpak tinggi melalui pengalaman pembelajaran di luar bilik kuliah. Program seperti ini bukan sahaja memperkukuh kemahiran pedagogi pelajar, malah mengukuhkan jaringan antara IPG dan komuniti sekolah secara berterusan.