Mini Karnival Sukan Prasekolah 2025 Serlah Potensi Anak Cilik di IPGM Kampus Sultan Abdul Halim

Pada 20 April 2025 Mini Karnival Sukan Prasekolah 2025 telah berjaya dianjurkan dengan penuh kemeriahan di Padang IPGM Kampus Sultan Abdul Halim, melibatkan kanak-kanak prasekolah dari Prasekolah Didikku Sayang, IPGM KSAH dan Prasekolah SK Bukit Kiara, Sungai Petani.

Program anjuran Jabatan Pendidikan Awal Kanak-Kanak (JPAKK) ini bertujuan memperkukuhkan perkembangan fizikal, sosial, emosi dan sahsiah murid melalui pendekatan pembelajaran berasaskan permainan. Pelbagai aktiviti sukaneka dijalankan termasuk acara berpasukan, permainan air serta cabaran motor halus dan kasar yang mencabar daya tahan dan koordinasi anak-anak kecil.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Tuan Pengarah IPGM KSAH, Dr Aris Fadzil bin Hj Ujang yang turut menyatakan komitmen institut dalam mendukung pelaksanaan pendidikan holistik di peringkat prasekolah.

Antara aktiviti menarik termasuk senamrobik ceria yang diketuai oleh fasilitator pelajar PISMP, demonstrasi permainan dan penyertaan maskot haiwan comel yang menjadi tarikan istimewa kanak-kanak.

En. Aidil Firdaus bin  Mohd Sok, selaku penyelaras program mengulas bahawa aktiviti luar bilik darjah seperti ini adalah medium medium penting untuk melatih kanak-kanak dalam kemahiran sosial, kawalan emosi serta daya usaha dalam menyelesaikan tugasan secara kendiri.

Program ini juga memberikan pengalaman pembelajaran bermakna kepada pelajar PISMP yang bertindak sebagai perancang, pelaksana dan pemerhati kepada perkembangan kanak-kanak secara lansung.

Mini Karnival ini diakhiri dengan sesi penyampaian hadiah dan bergambar kenangan bersama semua peserta dan jawatankuasa pelaksana. Senyuman manis dan gelak tawa anak-anak jelas membuktikan bahawa pendidikan awal yang menyeronokkan memberi kesan positif yang berkekalan dalam ingatan mereka. 

Pautan-pautan penting.  Sila klik

IPG Kampus Sultan Abdul Halim   08000 Sungai Petani,Kedah Darul Aman,Malaysia.    Tel : +604-4218621  Fax : +604-4218582     GPS Koordinat : N 05.62884  E 100.52290