KARNIVAL MINI TEATER JABATAN PENDIDIKAN AWAL KANAK-KANAK 2025 MERIAH DAN PENUH INSPIRASI

Jabatan Pendidikan Awal Kanak-Kanak (PAKK), IPG Kampus Sultan Abdul Halim telah berjaya menganjurkan Karnival Mini Teater PAKK 2025 yang berlangsung dengan penuh warna-warni dan kreativiti pada 29 April 2025 bertempat di Dewan Bukhari, IPGKSAH.

Program ini telah melibatkan penyertaan pelajar PISMP Semester II Tahun 2 yang mempersembahkan pelbagai bentuk pementasan. Antara persembahan yang mencuri tumpuan termasuklah "Langit Tak Lagi Biru", "Akta 611" dan "Pecahan Bayang: Siapa Diri Sebenar, Siapa Keluarga Sebenar".

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Tuan Pengarah, Dr Aris Fadzil bin Hj Ujang, yang turut menyampaikan ucapan penghargaan atas usaha serta kreativiti pelajar dan pensyarah pembimbing dalam menjayakan karnival ini. Beliau turut menekankan kepentingan seni teater sebagai medium pembelajaran yang efektif dalam membentuk sahsiah, komunikasi, kerjasama serta empati dalam kalangan pelajar.

Objektif utama program ini adalah untuk :

1. Menambahkan pengetahuan guru pelatih tentang cara memahami pengurusan tingkah laku melibatkan kes penderaan, pengabaian, pemerdagangan dan kaitannya dengan isu dan cabaran semasa.

2. Meningkatkan kebolehan guru pelatih untuk mengendalikan dan menganjurkan pertandingan drama pendek Pendidikan Awal Kanak-Kanak dengan sistematik dan berorganisasi.

3. Menjayakan Kapasiti Pedagogi Pembelajaran Bermakna (KPPB) antara kursus Perancangan Pengajaran Dalam Pendidikan Awal Kanak-Kanak dengan kursus Pengurusan Tingkah Laku Kanak-Kanak.

Karnival Mini Teater PAKK 2025 membuktikan bahawa pendidikan bukan hanya tertumpu kepada bilik darjah, tetapi juga melalui pengalaman dunia sebenar yang menyuburkan daya kreativiti dan kebolehan pelajar dalam pelbagai dimensi.

Pautan-pautan penting.  Sila klik

IPG Kampus Sultan Abdul Halim   08000 Sungai Petani,Kedah Darul Aman,Malaysia.    Tel : +604-4218621  Fax : +604-4218582     GPS Koordinat : N 05.62884  E 100.52290