
Jabatan Sains Sosial (JSS), Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Abdul Halim (IPGKSAH) telah mengadakan Majlis Perasmian Laman Seni JSS pada 9 Mei 2026 (Sabtu) bertempat di Laman Seni JSS.
Majlis yang disempurnakan oleh Tuan Pengarah IPGKSAH ini menjadi satu simbol komitmen Jabatan Sains Sosial dalam memperkasa budaya seni, kreativiti dan inovasi dalam kalangan warga kampus. Laman Seni JSS diwujudkan sebagai ruang pembelajaran alternatif yang mampu merangsang penghasilan idea kreatif, apresiasi seni serta memperkukuhkan pengalaman pembelajaran autentik dalam bidang Pendidikan Seni Visual.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran pelajar-pelajar Jabatan Sains Sosial yang menetap di kuarters dan kolej kediaman asrama, yang bersama-sama memeriahkan acara sebagai tanda sokongan terhadap inisiatif pembangunan ruang pembelajaran berteraskan seni.
Semoga kewujudan Laman Seni JSS menjadi platform yang berterusan dalam memupuk budaya berkarya, memperkasakan pendidikan seni serta melahirkan bakal pendidik yang kreatif, inovatif dan berjiwa seni.
Sekalung penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada Tuan Pengarah, semua jawatankuasa pelaksana, pensyarah serta para pelajar yang telah memberikan kerjasama dan komitmen sehingga majlis ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.





