Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Abdul Halim (IPGKSAH) dengan sukacitanya memaklumkan bahawa Bengkel Inovasi Digital dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu 2025 akan diadakan pada 18 September 2025 (Khamis), bermula dari pukul 8.00 pagi hingga 3.30 petang bertempat di Dewan Bukhari dan Dewan Al Khawarizmi. Bengkel ini akan menampilkan dua penceramah jemputan iaitu YBrs. Dr. Nurain binti Redzali dan Puan Noor Halizawati binti Abd. Ghani yang berpengalaman luas dalam bidang pengajaran dan pembelajaran berasaskan digital.
Bengkel ini dianjurkan khusus untuk pelajar Major Bahasa Melayu Ambilan September 2021/2026 dengan tujuan memberi pendedahan tentang kepelbagaian aplikasi serta strategi inovasi digital yang boleh diaplikasikan dalam bilik darjah. Melalui sesi yang dirancang, para peserta berpeluang memahami konsep inovasi digital, meningkatkan kemahiran menggunakan platform teknologi secara kreatif, serta mengaplikasikan pendekatan digital dalam pengajaran Bahasa Melayu bagi memperkayakan pengalaman pembelajaran murid.
Program ini dianjurkan oleh Jabatan Pengajian Melayu dengan kerjasama Jabatan Kecemerlangan Akademik. Diharapkan bengkel ini dapat memperkukuh kompetensi pelajar sebagai bakal pendidik abad ke-21 yang bukan sahaja mahir dalam penguasaan bahasa, tetapi juga bersedia menghadapi cabaran Revolusi Industri 5.0 yang menekankan keseimbangan antara teknologi digital dan nilai kemanusiaan dalam pendidikan.