
Taklimat Praktikum kepada Pelajar Pendidikan Awal Kanak-Kanak Fasa II Prasekolah (Ambilan September 2021/2026) telah berjaya dilaksanakan pada 14 Januari 2026 (Rabu) bertempat di Dewan Bukhari, IPG Kampus Sultan Abdul Halim (IPGKSAH). Taklimat ini berlangsung dari jam 2.00 petang hingga 5.00 petang, melibatkan pelajar praktikum Fasa II bagi memastikan persediaan awal yang mantap sebelum pelaksanaan praktikum di prasekolah.
Taklimat ini bertujuan untuk memberi penerangan menyeluruh berkaitan struktur praktikum prasekolah, keperluan dokumentasi pengajaran, pengurusan fail, rutin harian serta aspek profesionalisme guru semasa berada di lapangan. Melalui taklimat ini, pelajar dapat memahami dengan lebih jelas tentang tugasan yang perlu dipatuhi, standard pelaksanaan, serta perkara-perkara penting yang menjadi penanda aras dalam penilaian praktikum.
Sepanjang taklimat, beberapa slot utama telah disampaikan mengikut tentatif yang disusun. Antara slot yang dibincangkan termasuk Struktur Praktikum Prasekolah (En. Aidil), RPH/RPS dan Pengurusan Fail (Surat/Minit) (En. Syahir & Pn. Juriah), Jadual dan Pengurusan Rutin (Pn. Izyan), serta Projek Khas (Pn. Syazwani). Taklimat turut menekankan aspek penting berkaitan Etika Keguruan yang disampaikan oleh Pn. Aziah dan Pn. Thenna, sebelum diakhiri dengan Sesi Soal Jawab sebagai ruang interaksi dan penjelasan lanjut kepada pelajar.
Secara keseluruhannya, taklimat ini telah mencapai objektif yang ditetapkan dan menjadi platform penting dalam memastikan pelajar jelas tentang keperluan serta tanggungjawab praktikum. Diharapkan maklumat dan panduan yang diterima dapat membantu pelajar melaksanakan praktikum dengan lebih tersusun, beretika serta menunjukkan tahap profesionalisme yang tinggi selaras dengan aspirasi IPGKSAH dan keperluan pendidikan prasekolah semasa.





