
ALOR SETAR, 6 Jun 2026 – Ketua Jabatan Sains Sosial, Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Abdul Halim (IPGKSAH), Pn. Faridah binti Abdul Rahman, telah dijemput sebagai tetamu khas dalam rancangan Pot Lek Lek di Kedah FM bagi berkongsi kejayaan penganjuran Pameran NUANSA 2026: Merentas Batas, Mencipta Warna yang berlangsung di Balai Seni Negeri Kedah, Alor Setar.
Dalam sesi temu bual yang dikendalikan oleh DJ Zulrenova, Pn. Faridah menjelaskan objektif penganjuran pameran, peranan seni dalam pendidikan guru, serta usaha Jabatan Sains Sosial dalam mengembangkan bakat dan kreativiti pelajar melalui bidang Pendidikan Seni Visual dan Pendidikan Muzik. Beliau turut menekankan bahawa pameran ini menjadi platform penting untuk mengetengahkan hasil karya, idea kreatif dan potensi pelajar kepada masyarakat.
Turut hadir dalam sesi tersebut ialah En. Badri Sham bin Ahmad, Kurator Pameran NUANSA 2026, yang berkongsi mengenai konsep kuratorial serta keunikan tema “Merentas Batas, Mencipta Warna” yang menjadi teras pameran tahun ini.
Pameran NUANSA 2026 melibatkan penyertaan 139 orang pelajar dan 6 orang pensyarah Jabatan Sains Sosial IPGKSAH, serta menampilkan pelbagai aktiviti dan persembahan termasuk pameran seni visual, apresiasi dan kritikan seni, forum, podcast, nyanyian solo, koir dan persembahan tarian.
Sesi siaran ini bukan sahaja mempromosikan pameran kepada masyarakat umum, malah menjadi medium untuk memperkukuhkan hubungan antara institusi pendidikan, industri seni dan komuniti dalam usaha memartabatkan pendidikan seni di Malaysia.
Tahniah kepada seluruh warga Jabatan Sains Sosial IPGKSAH atas kejayaan menganjurkan Pameran NUANSA 2026 serta membawa nama institusi ke persada yang lebih luas melalui medium penyiaran negeri.





