
Program Taklimat Keselamatan Kebakaran dan Demonstrasi Pemadaman oleh Balai Bomba Sungai Petani telah dilaksanakan pada 12 Februari 2026 (Khamis) bertempat di Dewan Bukhari dan Dataran Parkir Berturap, Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Abdul Halim (IPGKSAH) bermula 8.00 pagi hingga 12.00 tengah hari. Program ini merupakan anjuran bersama Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP), Jabatan Pendidikan Awal Kanak-Kanak (JPAKK) dan Jabatan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (JSTEM) dengan penyelarasan oleh En. Md Rodi bin Idris.
Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran warga IPGKSAH khususnya siswa guru terhadap aspek keselamatan kebakaran, pengurusan risiko serta tindakan kecemasan yang betul sekiranya berlaku insiden kebakaran. Peserta telah didedahkan dengan taklimat teori berkaitan punca kebakaran, langkah pencegahan, penggunaan alat pemadam api serta prosedur pemindahan bangunan secara selamat. Selain itu, demonstrasi praktikal pemadaman kebakaran oleh anggota Balai Bomba Sungai Petani memberi peluang kepada peserta merasai pengalaman sebenar mengendalikan peralatan keselamatan di bawah bimbingan pakar.
Pelaksanaan program ini diharap dapat membentuk budaya peka keselamatan, kesiapsiagaan dan tanggungjawab sosial dalam kalangan bakal pendidik selaras dengan usaha melahirkan guru yang kompeten, berpengetahuan dan bersedia menghadapi situasi kecemasan di institusi pendidikan serta komuniti.





